Pohon Cinta

“Allahuakbar, Allahuakbar, Lailahailallah.” Tangannya pantas mencapai telefon bimbit di sebelah, mematikan nada deringan. Lagu Maher Zain itu segera terhenti. Beberapa saat berlalu, matanya masih jua tertutup.

Hati digagahkan, tangan segera meraba di dalam kegelapan, mencari sesuatu. Dia duduk di atas katil itu, sambil memegang buku Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali R.A dan membuka muka surat yang dikehendaki.

Subuh yang hening itu dimulakan dengan doa dan puji-pujian bagi yang selayaknya menerima pujian, Allah S.W.T.

Ahlam segera bangkit, bersiwak, dan mempersiapkan diri untuk beribadah. Subuh hanya akan tiba kurang setengah jam sahaja lagi.

 

Dengan lafaz bismillah, membaca surah an-Nas sebelum memulakan solat, dia hanyut di bawah kelemahannya, menghadap Yang Maha Kuasa.

 

Pagi itu cerah seperti biasa, awan dan matahari juga seperti biasa. Semua yang hidup itu pasti sedang bertasbih, memuji kebesaran Allah S.W.T. Selepas Isyraq, dia menarik nafas, melangkah menuju ke kelas. Pusat Asasi UIAM, PJ hening ketika itu. Sudah menjadi kebiasaanya, dia bahagia.

Tanpa disedari, ada yang melihat dari jauh. Hanya beberapa langkah dibelakangnya.

“Ahlam.” Tegur yang melihat itu.

Ahlam tidak segera menoleh, walaupun langkahnya terhenti. Dia beristighfar, kerana dia tahu suara itu milik seorang ‘brother,’ panggilan yang digunakan untuk pelajar lelaki di situ.

“Assalamualaikum, Ahlam.” Tegur suara itu lagi.

Pemilik suara itu berkira-kira, mungkinkah Ahlam akan pergi meninggalkan dia begitu sahaja, atau sudi mendengar bicaranya.

Dia melihat sekeliling, hanya ada beberapa orang rakannya tiga langkah daripada dia. Dia tidak mahu bersendirian dengan Ahlam. Mestilah, haruslah, pertemuan itu berteman.

Ahlam hanya menjawab salam di dalam hati. Dia menutup bahagian bawah mukanya dengan lengan baju kurungnya, lalu tunduk seraya berkata.

“Kenapa ya, perlu berjumpa di waktu begini? Ana ada kelas.”

“Bukankah kelasmu hanya akan bermula satu jam saja lagi? Masih ada waktu.”

“Asif.. ana terpaksa menganggu seketika. Ana tidak ada nombor anti untuk bertanya perkara ini.”Faqeh menjawab.

Dia terdiam sesaat. “Sudahkan sister Farah berjumpa anti?” Tanyanya.

“Sudah, dan jawapan sudah diberikan.” Ahlam menjawab tegas.

Hatinya bergolak, perasaan bercampur baur. Dia tahu fitnah tidak akan timbul kerana Faqeh berteman, tapi mana mungkin dia berdiri di situ walaupun sesaat dua kerana hanya dia seorang di pihak muslimah.

Dia segera berlalu. Tidak betah berlama. Faqeh terkejut tapi tidak menghalang.

“Salahku juga.” Fikirnya.

*****

Lalu dia teringat pertemuannya dengan sepupunya, Farah, semalam.

“Allah mengetahui segala sesuatu.” Farah memulakan bicara.

“Faqeh, dia menolak. Sudah dua kali kamu cuba taqdim, cukuplah.” Tambah Farah.

“Tapi aku yakin dia jodohku.” Tegas Faqeh.

“Apakah keyakinanmu itu bersandarkan Allah? Bagaimana pula dengan keyakinannya menolak kamu? Adakah itu cuma permainan di mata? Faqeh, dia sudah istikharah. Dia hanya memaklumkan belum tiba masanya saja. InsyaAllah, lepas habis pengajian, cubalah kamu mengkhitbahnya sendiri.” Balas Farah.

“Aku juga sudah istikharah, dan ternyata dia jawapanku.” Kata Faqeh.

Pelajar Asasi Kejuruteraan itu sukar menerima hakikat.

“Istikharah tidak bermakna jika kamu berat hati pada satu jawapan sahaja. Kamu harus bersedia untuk pilihan yang lain. Itu salah kamu di situ.”

Farah memandang sayu sepupunya itu.

“Hanya satu semester saja lagi. Habiskanlah pengajianmu, biarkan dia juga belajar. Kamu itu bukan setakat seorang pelajar, tapi seorang Muslim. Tanggungjawabmu lebih berat, tanamlah dulu sifat taqwa, insya-Allah, perjalananmu akan dipermudahkan.”

Kata Farah menutup bicara. Dia berlalu meninggalkan Faqeh dan temannya di kafeteria.

Faqeh menoleh ke arah temannya, meminta kekuatan walaupun sedikit.

‘Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.’ [Q.s. An-Nisa:19 ]

Ujar temannya, memahami maksud pandangan Faqeh.

Faqeh mengusap muka dengan kedua tapak tangannya, mengucapkan terima kasih lalu beransur ke musolla.

Dia hendak bertaubat, kerana walau sekejap cuma, dia sudah lupa tanggungjawab yang lebih utama, iaitu menjadi hamba kepada Pencipta yang Agung.

*****

Farah tiba di dalam bilik, meletakkan beg di atas meja, dan mengingat kembali peristiwa ketika dia menyampaikan hajat Faqeh buat kali kedua kepada Ahlam.

“Petunjuk awak adalah dia bukan?” Tanya Farah.

Ahlam tenang, lalu menganggukkan kepala.

“Tapi kenapa harus menolak?” Tanya Farah lagi.

Ahlam tersenyum, lalu menjawab.

“Belum tiba masanya. Kami masih muda, iman kami masih baru bercambah.”

Suasana senyap seketika.

“Cinta itu sempurna seperti pohon, akarnya tertanam dalam hati, batangnya kukuh dalam kata, buahnya terkandung dalam perbuatan. Persis seperti iman, tetap dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal. Pernah saya terbaca ayat itu.” Tambahnya lagi.

“Awak cintakan dia?” Farah menambah persoalan.

“Cintaku kepada Allah lebih penting, dan juga Rasulku, adakah awak hendak saya melupakan itu?”Ahlam menjawab dengan pertanyaan.

“Boleh saja kalau kamu bertunang dahulu sementara belajar, dan bernikah selepas tamat.” Farah mengutarakan pandangan.

“Pertunangan itu bagi saya, adalah untuk mengenali satu sama lain. Baguslah kalau ramai yang memikirkan begitu. Tapi saya sendiri yakin dengan pilihan Allah, biarlah saya mengenali jodoh saya selepas kami dinikahkan.”

Terang Ahlam. Farah senyap.

“Aduhai Farah, ingatkan hatimu, ingatkan nafsumu, bahawa kematian itu dekat sekali. Mungkin ramai berkata, kita berada di sini untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu semata-mata. Seperti yang ku katakan, cinta itu seperti pohon, laksana iman.

Teguhkanlah iman dulu, siramilah dengan ketakwaan, barulah sempurna cintamu itu. Marilah kita letakkan kepercayaan kepada Allah, saya yakin, Dia akan menjaga hati kami berdua.

Insya-Allah, setelah tamat belajar, barulah mendapat keberkatan. Habiskan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan seorang anak dahulu.”

Ahlam berkata sambil memegang tangan Farah. Dia senyum, hatinya beristighfar.

Farah membalas senyuman Ahlam, lalu mengangguk tanda faham.

Dia tahu, ramai yang kalah dalam perjuangan atas nama cinta. Ahlam menjaga maruahnya sebagai seorang muslimah dengan rasa malunya, dengan kesabarannya.

Dia tahu, kalau ada jodoh, pasti akan bersatu jua. Lalu dia juga beristighfar di dalam hati, kerana dia tahu dan dia pasti, hatinya selalu sahaja leka namun Allah itu Maha Pengampun. Maka dia memohon keampunan.

– Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s