Indahnya Khitbah!

Isu Kaf Ha Waw Ya Nun bukan sahaja hangat diperkatakan dalam kalangan remaja kita, tetapi sama juga halnya di Maghribi. Sampaikan ada yang percaya, jika perempuan yang umurnya sudah dua puluh tiga tahun tetapi masih tidak berpunya, itu petanda yang bahaya. Takut tidak berkahwin sehingga akhirnya.

Saya sangat tertarik untuk berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai perkara yang hangat diperkatakan oleh anak muda seperti saya. Isu Nikah Gantung atau Nikah Khitbah memang isu yang sering kita dengarkan. Saya ada dua kisah untuk dikongsi bersama. Kisah saya mungkin biasa-biasa sahaja penulisannya, tetapi diharapkan semua mendapat manfaat bersama.

Kisah 1

Saya ada seorang kawan, Azizah namanya. Perkenalan kami dimulakan oleh Azizah, sewaktu dia menegur saya di surau. Agaknya dia tahu saya orang asing melalui pakaian saya, lalu dimulakan salam dan perkenalan.

Dia sangat baik orangnya, alim dan cantik. Setiap kali berjumpa, pasti saya akan dipeluk dengan kuat dan diciumnya pipi dengan erat. Hari-hari di semester satu berlalu dengan indahnya dengan perkongsian cerita dan ilmu. Walaupun Azizah pelajar Ilmu Sosiologi, saya pula dalam bidang Bahasa Arab, tetapi bagaikan ada satu kimia yang menghubungkan hati kami dan kami sangat selesa bersama.

Sehinggakan sewaktu kami berjumpa lagi di dalam surau, Azizah bertanya kepada saya:

“Husna, apa yang awak dah buat kat saya ni?”

“Saya selalu rindu awak.”

Terharu mendengarkan ayatnya, saya membalas,

“Saya pun tak tahu kenapa, semoga dengan ukhuwah ini membawa kita ke syurga.” Sambil tersenyum memandangnya.

Pada suatu hari, kebetulan kami memang tiada kelas pada waktu yang sama, Azizah mengajak saya berjalan-jalan bersama ke taman. Kami duduk di tepi taman berhadapan court bola. Soal Azizah kepada saya memulakan bicara.

“Boleh tak awak ceritakan serba sedikit adat perkahwinan di tempat awak?” Ligat otak saya mencari ayat, menyusun cerita mengenai adat. Haruslah dikongsi dari awal pertemuan bukan?

Secara ringkas, saya bercerita turutan daripada tunang hinggalah ke majlis perkahwinan. Dia bertanya lagi.

“Kamu sudah bertunang ke?”Tersengih senyuman saya melebar ke telinga.

“Semestinya belum lagi.” jawab saya.

Rupa-rupanya, Azizah ingin memberitahu bahawa dia sudah bertunang tiga hari lepas dengan anak jirannya. Dia tidak pernah kenal siapa, tetapi ibunya sangat berkenan dengan Azizah dan ingin masuk meminang. Azizah bersetuju kerana jejaka tersebut katanya sangat sopan dan baik budi pekerti menghormati ibu bapa walaupun tidak pernah bersua muka.

Seminggu berlalu, kami berjumpa lagi. Kini Azizah dengan penuh perasaannya menceritakan bahawa dia sudah berkahwin di atas kertas. Menulis akad. Tetapi masih belum melangsungkan majlis perkahwinan.

Katanya, dia masih duduk bersama ibunya dan bukan bersama suaminya. Selepas tiga bulan, suami mengumpul wang secukupnya, rumah sudah tersedia barulah Azizah akan berpisah dengan ibunya. Terkejut. Keliru. Masih tidak faham. Itulah situasi saya ketika Azizah menceritakan statusnya pada bulan April ketika itu.

Tiga bulan berlalu, saya dan Yusra dijemput untuk ke majlis perkahwinannya. Meriah! Berwarna-warni penuh dengan muzik taqlidi dan madah nabawi. Kami dibawa Azizah dari awal sebelum majlis perkahwinan bermula sehingga majlis tamat. Sempat kami menjamah kuskus di rumah ibunya.

Selesai kuskus habis dijamah, suami Azizah datang untuk menjemputnya, pada saat itu ibunya mengalirkan air mata kerana Azizah tidak akan lagi tinggal bersamanya. Kemudian dari rumah ibu Azizah kami dibawa ke rumah barunya yang lengkap berperabot, peti ais, microwave, TV LCD Skrin dan lain-lain lagi.

Seterusnya kami dibawa pula ke tempat bersolek dan akhirnya kami ke majlis perkahwinannya di sebelah malam yang tamat sehingga pukul lima pagi. Fuhh, pertama kali tidak tidur malam hadiri majlis kahwin.

Ini contoh Nikah Khitbah.

Indah bukan?

Kisah 2

Nawal yang kecil molek orangnya menyusun langkah rapi ke kuliah di pagi hari Isnin. Sedang asyik berjalan laju mengejar masa sebelum kelas bermula, dia tersempak dengan saya di pertengahan jalan sebelum saya melintas ke seberang untuk sampai ke kuliah. Dia menepuk perlahan bahu saya. Sambil memberi salam dan bertanya khabar, kami sama-sama berjalan ke kuliah dalam keadaan tergesa-gesa.

Peluang ini saya ambil untuk mengucapkan tahniah kepadanya di atas perkahwinan yang telah dilangsungkan. Rupa-rupanya, Nawal juga masih belum melangsungkan majlis tetapi sudah berakad nikah di atas kertas.

Situasi yang sama seperti Azizah diceritakan kepada saya. Nawal berkahwin dengan kenalan abangnya yang baru sahaja dikenali. Tidak memerlukan masa pertunangan yang lama, mereka terus melafazkan akad nikah tetapi masih belum duduk serumah. Suaminya sedang bekerja mengumpulkan duit secukupnya supaya Nawal boleh tinggal dengan selesa di rumah miliknya.

Nawal yang sentiasa mengenakan pakaian salafi gelap, bertudung litup seluruh badan leka bercerita saat pertemuannya sehinggalah kami tiba di pintu masuk kuliah. Oleh sebab kelas kami berlainan, jadi saya minta izin untuk ke arah yang bertentangan. Sebelum berpisah dengannya, Nawal sempat berpesan kepada saya untuk memberitahu Yusra yang dia mahu datang ke rumah untuk menggunakan internet.

Pada sebelah petangnya, Nawal datang ke rumah kami seusai kelasnya tamat. Sememangnya rumah kami tidak ubah seperti sebuah Cyber Cafe, maka ramailah kawan-kawan kami singgah untuk menggunakan internet walaupun sekejap sahaja.

Nawal masuk dan terus ke bilik Yusra untuk menggunakan laptopnya. Sebelum MSN Messengerdibuka, Nawal berhias secantiknya untuk duduk di hadapan komputer.

Kenapa dia berhias untuk kami?

Perlu ke menggunakan internet sambil berhias diri?

Nawal sebenarnya hendak berjumpa si buah hati. Ya, dia sedang bersiap untuk berdatingdengan suami. Sweet bukan?

Oh Tuhan, saat dia berada di hadapan komputer berwebcam dengan suami tercinta, kami terasa sangat gembira dan bangga dapat menolong orang berdating buat kali pertamanya.Dating yang halal dan membawa pahala.

Alhamdulillah, sekarang Nawal sudah mengandung enam bulan. Walaupun begitu, dia tetap gagahkan diri belajar di kuliah selagi termampu.

Kisah ini juga contoh Nikah Khitbah. Indah bukan?

Adat Melayu kita menampakkan proses perkahwinan itu adalah sesuatu yang sangat kompleks urutannya. Pada hakikatnya, ianya sangat mudah.

Setiap perkahwinan itu sentiasa kita impikan keindahan berpanjangan. Namun harus diingatkan juga, niat untuk membina sebuah masjid itu perlu dibetulkan. Tanya diri semula.

Mengapa aku ingin berkahwin?

Sudah sediakah aku menjadi seorang suami?

Mampukah aku bergelar seorang isteri?

Jikalau jawapan yang diberikan masih tidak, maka sebaiknya kita beristighfar selalu, berpuasa dan dekatkan diri kepada Allah S.W.T dalam masa yang sama kita persiapkan diri untuk sebuah perkahwinan nanti.

Utamakan perkara  yang lain terlebih dahulu. Sibukkan diri dengan perbaiki dan kenali diri. Tidak perlu terburu-buru dalam hal mendirikan rumah tangga, takut-takut juga nanti berakhir dengan perceraian. Bercerai dalam usia yang muda. Nauzubillah.

Bercouple, berpasangan, bercinta, berkasih sayang, namun hubungan tersebut masih tidak diikat dengan sebuah ikatan yang sah takut-takut hanya membawa kemurkaan Allah SW.T.

Sudah pasti perkara tersebut melalaikan kita dan menjauhkan kita daripada-Nya. Semua orang senang berkata, “Takpe, yang penting kita jaga hati.” Tetapi hanya Allah S.W.T dan diri sendiri tahu sejauh mana kita mampu menjaga hati kita.

Sebuah perkahwinan yang diberkati Allah S.W.T menjadi dambaan semua.

Kita juga mengimpikan anak soleh dan solehah penyejuk mata.

Maka dari permulaannya lagilah perlu kita jaga.

Mungkin ada yang akan bercakap, “Mudahlah awk berkata-kata, awak masih belum diuji, tunggulah nanti.”

Mungkin saya belum diuji, mungkin saya pula akan kalah nanti, tetapi saya sedang persiapkan diri.

Sebagai sahabat, saya hanya ingin beringat. Kelak, ada pula yang mengingatkan saya di saat saya sesat.

Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s