Ya Allah, Manisnya Hidayah-Mu!

Coretan saya ini, sekadar ingin berkongsi kisah benar kehidupan seorang lelaki (yang ingin dikenali sebagai Adam) yang dipilih Allah untuk berhijrah daripada kehidupannya yang gelap kepada cahaya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah:257)

Latar Belakang

Sedikit latar belakang kisah sewaktu kecilnya. Dia merupakan seorang anak yang begitu tinggi sifat ingat tahunya dan seperti kanak-kanak yang secara amnya bersifat nakal. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang disamping didikan agama yang baik namun dari sudut pergaulannya, dia amat dikawal rapi oleh kedua orang tuanya sehinggakan dipetang hari tika kanak-kanak yang lainnya bersuka-ria, dia hanya sekadar bermain di halaman rumahnya atau di rumah jiran rapat kepada ibu ayahnya sahaja.

Dia pula dihantar ke sekolah yang terletak di bandar dengan alasan takut kalau-kalau Adam menjadi liar jika bercampur gaul dengan kanak-kanak di kampungnya. Begitulah warna-warni kehidupan Adam, dimana perkembangannya tidak begitu memberansangkan kerana masanya yang banyak dihabiskan di rumah bersama ibu, ayah, kakak dan adik perempuannya. Namun sebagai seorang anak, apa sahaja yang boleh dilakukan, melainkan mendiamkan diri dan mengikut rentak keluarganya. Dalam diam pemberontakan dalam diri yang sangat hebat berlaku.

Sifat ingin tahunya hanya banyak menimbulkan tanda tanya tanpa penjelasan dan dorongan keluarga, Adam lebih banyak belajar dengan caranya sendiri dari sumber-sumber seperti televisyen, movie termasuk video pornografi, observation terhadap keluarga serta kawan-kawannya dan lain-lain lagi, namun banyak ilmu negatif daripada positif, pengetahuan yang ada, kekal dalam dirinya. Kehidupannya seperti kata-kata dari Prince Charles, “I learned the way a monkey learns – by watching its parents.” Kerana kebiasaan bersama adik beradik perempuan, Adam mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding kawan lelaki kerana sikapnya yang mudah mesra dengan perempuan sewaktu dia dibangku sekolah, namun dia bukanlah dalam kategori lelaki yang lembut.

Bergelar Mahasiswa

Apabila tamat zaman persekolahannya, Adam melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian swasta. Dimana Adam jauh dari keluarga dan perlu berdikari dengan berbekalankan pengetahuan yang ada bagi meniti kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Ilmu agama yang dia miliki pula tidak begitu mantap, hanya sekadar mengetahui ilmu itu seperti subjek-subjek lain yang dipelajarinya disekolah. Pelbagai perkara yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini, yang dari pelbagai sudut tentang sesuatu perkara, cuba dicari dan dikupas satu persatu.

Karakter yang sudah sebati dalam diri, yang mudah mesra dengan perempuan digunakan sebaik mungkin kerana dia merasakan ada ‘kemanisan’ yang tersendiri dalam diri, mahluk yang bergelar perempuan. Ditakdirkan Adam bertemu dengan seorang perempuan dikenali sebagai Zulaikha yang rosak moral dan bebas pergaulannya.

Zulaikha

Adam merasa simpati dengan akhlak Zulaikha dan bercita-cita untuk merubahnya, kerana Adam percaya, bukan atas kemahuan Zulaikha untuk bersifat sedemikian rupa. Pasti keadaan sekeliling, cara didikan keluarga dan pengaruh kawan yang menyebabkan Zulaikha berperwatakan begitu. Dengan pengetahuan agama yang cetek, Adam cuba membimbing Zulaikha kepada kebaikan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Adam semakin mendalami kehidupan Zulaikha yang penuh dengan kegelapan dan mereka semakin rapat bagaikan pasangan suami isteri, sehingga mereka mengisytiharkan kepada rakan-rakan tentang percintaan mereka berdua.

Kini cita-cita Adam yang dulunya panas membara bertukar menjadi seperti debu di jalanan, kerana hanyut dibawa arus kemaksiatan. Dia merasakan percintaan bersama Zulaikha adalah rahmat dari Allah kerana Zulaikha dapat membantu dalam pelajarannya, disamping kebahagian hidup bersama teman hidupnya itu. Perkara ini diketahui oleh kedua orang tua Adam, dan percintaan mereka dihalang keras oleh keluarganya. Namun Adam bermati-matian mempertahankan percintaan mereka sehingga sanggup bersikap biadap kepada kedua orang tuanya. Pertama kalinya Adam menyebabkan air mata ibunya berlinangan.

Disamping cerita Zulaikha, Adam juga ingin merubah sikap atau cara hidupnya yang mudah mesra dengan perempuan itu dengan memperbanyakan kawan-kawan lelaki, dan ingin hidup seperti remaja-remaja kebanyakan, kononnya seperti lelaki ‘macho’, ‘stylo’ dan ‘gangster.’ Dan dia berjaya dalam membina hubungan dengan remaja-remaja kampung dan ditempat belajarnya sendiri, yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari hari ke hari, pendirian dan sikap Adam bertambah teruk.

Dia sudah mula terjebak dengan zina, pergaulan bebas, berhibur di kelab malam, rempit, curi motor, rokok dan banyak lagi yang dicubanya. Namun kadang-kadang, jauh disudut hatinya berkata-kata “Kenapa kehidupan aku begini? Seronok, tetapi aku tidak pernah merasa tenang… Masalah pula bertambah-tambah… Bagaimana ibu ayah? Bagaimana Zulaikha bila aku berjauhan dengan dia? Dengan lelaki lain mungkin? Bagaimana agama?” Dan terus soalan-soalan ini dia terfikirkan setiap kali dia membuat maksiat ataupun dia keseorangan.

Dalam masa yang sama dia terus mencari jawapan dan penyelesaian masalahnya disamping maksiat-maksiat yang dia masih lakukan. Kadang-kadang dia mendekati orang-orang tua di kawasan belajarnya, atau pesyarah-pensyarah demi mencari nasihat atau solusi. Semua yang didengarinya disimpan baik dalam kotak memorinya. Kadang-kadang ke masjid atau surau mencari sesuatu, kalau-kalau di sana ada ketenangan. Kadang-kadang sejadah menjadi saksi tangisannya dalam dia mencari makna kehidupan.

Dia masih belum mengerti yang dimaksudkan dengan hidayah dari Allah swt, Al-Quran yang punya pelbagai khabar gembira dan peringatan masih belum menjadi peneman sejati. Kadang-kadang kedengaran bacaan dari surah-surah Al-Quran yang dibaca merdu oleh Adam. Namun maknanya tidak diambil tahu. Adam dalam keluh kesah dan keliru, terumbang-ambing dihempas ombak kehidupan, disamping bisikan-bisikan syaitan yang tidak mengenal erti berputus asa demi meramaikan teman untuk menemaninya dineraka kelak. Adam bagai tiada kekuatan untuk membuat perubahan dalam dirinya sendiri, dan dia terus mengikut arus kehidupan yang penuh ‘kebahagian’ didalamnya.

Masa berlalu begitu pantas, Adam berasa senang hati apabila dapat menamatkan pengajiannya di peringkat diploma dengan baik. Perhubungan cinta bersama Zulaikha terputus ditengah jalan, selepas mendapat tahu bahawa Zulaikha curang dibelakangnya bersama lelaki lain. Adam sudah berputus asa dengan sikap Zulaikha dan tidak sanggup lagi memimpin Zulaikha yang sememangnya seperti tidak boleh diubah lagi sikapnya. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan kepada Illahi demi kebahagian Zulaikha bekas kekasihnya.

Di saat rasa gembira bercampur sebak itu juga, ditambah pula dengan dugaan yang lainnya, dimana dia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Mungkin ini satu peringatan dari Allah swt atas perkara-perkara yang dilakukan Adam seperti mencuri motor dan bergadai nyawa di jalan raya demi keseronokan dan duit. Selepas sihat dan pulih daripada luka, Adam lebih berhati-hati dalam menunggang motor dan berhenti dari kegiatan mencuri motor dan merempit di jalanan.

Jauh Dari Pantauan Keluarga

Seperti rata-rata mahasiswa, Adam juga meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah. Satu institusi yang lebih jauh dari pantauan ibu ayah dan bukan satu tempat kemasyarakatan seperti taman-taman dan kampung-kampung. Rata-rata penghuni kawasan ini adalah pelajar dan warga asing yang tiada langsung budaya kemasyarakatan, hidup berjiran dan sebagainya. Semuanya sekadar menjaga hal masing-masing. Adam yang kini tiada teman kekasih merasakan dirinya sunyi, dan seperti biasa Adam dengan sikap peramahnya mencari dan membuat hubungan dengan kenalan baru bagi mewarnai kehidupannya di tempat itu.

Adam menyibukkan diri, menyertai pelbagai kelab di institusi barunya dengan niat mencari kenalan baru. Tiada masalah buat Adam dalam usaha ini, memandangkan dia seorang yang ‘versatile’ dan peramah. Kerana sibukkan keseronokan, pendidikan Adam menjadi kelam-kabut dan punah, tetapi sedikit rasa terkilan pun tidak dirasainya kerana dikaburi keseronokan yang terlampau. Tiada rasa bersalah dengan ibu ayah lagi, silih berganti perempuan, tiada lagi rasa malu dalam diri, dan tetap dengan perangai buruk yang ada. Dia terus menyalahi Zulaikha yang kononnya, perempuan itu menjadi sebab perangainya buruk.

Adam sudah berputus asa dengan rahmat Allah serta menyalahi Allah yang membiarkan kehidupannya sebegitu rupa. Perbelanjaan yang sia-sia terus dilaburkan dari seorang yang bergelar ayah kepada Adam. Masa terus berlalu pergi, namun Adam tetap sebegitu rupa. Kali pertama dibuang dari institusi kerana ‘pointer’ yang sangat teruk, Adam membuat rayuan bagi meneruskan hasrat yang kononnya dia ingin membuat perubahan dalam pelajarannya. Setelah rayuan diterima, Adam tetap dengan perangai buruknya, tanpa menghiraukan pelajarannya tetap menagih keseronokan dunia yang penuh kemaksiatan. Adam kini menjadi pembela kemaksiatan atas kesan-kesan dosa yang menyebabkan hatinya keras dan hitam.

Hawa

Ditakdirkan Adam berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai Hawa. Seorang perempuan yang begitu menagih cinta Adam, kerana sifat Adam yang penyayang dan begitu mengambil berat tentang dirinya. Adam tidak mahu terikat dengan mana-mana perempuan buat ketika itu kerana dia lebih selesa dengan keadaannya yang bahagia disamping kawan-kawan dan silih berganti teman tidurnya. Namun dia merasakan Hawa mencintainya seikhlas hati, lalu menerima cinta Hawa dengan baik.

Kehidupan mereka berdua begitu ‘bahagia’ sehinggakan Hawa sanggup menyerahkan jiwa dan raga untuk Adam atas nama cinta. Pada hakikat yang sebenarnya, cinta mereka itu tiada dasar dan hanyalah dorongan nafsu semata. Namun Hawa banyak berkorban masa, tenaga dan harta kerana cinta, semata-mata untuk membawa perubahan dalam pendidikan Adam. Namun usahanya bertemu kebuntuan, sehingga Adam disingkirkan dari institusinya buat kali yang kedua. Kali ini Adam tersentak kuat dengan keputusan yang sangat teruk.

Bertubi-tubi persoalan demi persoalan yang memburu benak fikirannya, “Macam mana sekarang? Nak teruskan lagi ke? Pointer dah teruk, teruskan pun tiada guna… Kerje ke? Kalau ibu ayah tahu macam mana? Perlu belajar tempat lain ke? Perlu tukar course ke? Arrrrgghhhhhh…!!!!” jiwanya menjerit kuat.

Tanpa pengetahuan ibu dan ayah, Adam tersungkur keseorangan, menjerit, menangis, menahan kepedihan dan keperitan yang sedang ditanggungnya itu. Mujur Hawa masih lagi disisinya, terus membantu, menyokong Adam dari pelbagai sudut. Dia mempercayai kemampuan Adam untuk membuat perubahan dalam pelajaran dan kehidupannya. Hawa membantu dalam memberi buah fikiran, idea-idea dan sanggup pula berkorban harta dan masa demi untuk membantu Adam. Keikhlasan Hawa membuatkan Adam bertambah ikhlas menyayangi kekasihnya. Dia cuba bangkit dan bertatih semula menuju menara gading sambil dipapah kekasihnya.

Kata putus dari perbincangan mereka berdua ialah supaya Adam memohon di institusi-institusi lain yang sedang menawarkan kemasukan pada ketika itu, sambil mencari pekerjaan sementara bagi memenuhi masa yang terluang ketika menunggukan jawapan dari mana-mana institusi yang dipohon mereka.

Walaupun kisah Adam kali ini penuh kepahitan, dugaan, dan pengorbanan, namun akhlaknya masih belum menampakkan perubahan. Perhubungannya dengan Sang Maha Pencipta masih tidak terjaga, walaupun kadang-kadang terdetik dihatinya, “macam mana nak jadi baik? Haihs..”. Malah Adam mengheret kekasihnya juga ke kancah kemaksiatan. Sayangnya, kerana Hawa merasakan selesa dan kemanisan dalam perkongsian hidup bersama Adam, padahal kegelapan menutupi kehidupan mereka berdua.

Titik Kesedaran

Selang beberapa bulan, keputusan permohonan Adam di salah satu institusi diterima dan ditawarkan tempat bagi Adam melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah di situ. Kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dapat dilihat dari riak wajah Adam. Tanpa berfikir panjang Adam ditemani kekasihnya menguruskan pinjaman dan pembayaran deposit sebelum memulakan pendidikannya.

Terlintas di kotak fikiran Adam, “apakah pantas untuk aku meneruskan pendidikan dengan attitude aku yang sebegini rupa?” Kini Adam benar-benar menyedari bahawa dia tidak akan dapat pergi jauh dengan akhlaknya yang sangat teruk, maka Adam berusaha mencari mana-mana tempat yang menganjurkan kursus motivasi diri. Seorang kawannya mencadangkan supaya Adam pergi ke satu kursus yang pernah kawannya itu hadiri, dan satu impak positive yang besar berlaku pada diri kawannya kini. Tanpa berfikir panjang dan dipersetujui kekasihnya, Adam turut menghadiri kursus itu dengan hasrat supaya kursus yang akan dihadirinya dapat memberikan impak yang besar dalam dirinya.

Dengan keizinan Allah, suatu yang seperti ajaib terjadi dalam dirinya, seperti seorang yang meraba-raba dalam kegelapan, berjaya melepaskan diri kepada cahaya dengan bantuan sesuatu. Kini Adam memperakui dosa-dosanya dan dia bertaubat dihadapan Allah, memohon keampunan, berjujuran air mata, menggigil dia kerana takut akan dosa-dosanya, sehinggakan Adam begitu takut untuk keluar dewan menghadapi realiti kehidupan yang penuh dusta. Allah berfirman

“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An-Nur:35)

Kini Adam yang bagai punya dua personaliti, baik dan jahat dalam dirinya saling bercekaran merebut tahta pemerintahan dalam diri Adam. Dengan semangat baru yang berkobar-kobar, dia merangkul segala ilmu agama yang dipelajarinya dibangku sekolah dahulu, menukil kembali nasihat-nasihat yang pernah didengarinya dahulu. Al-Quran yang dulunya sekadar perhiasan kini menjadi teman, semuanya dikumpul dan diletakkan dihadapannya sebagai panduan kehidupan dalam setiap pekara. Allah swt dirasakan dekat, mencintai dan merindui Rasul saw dan Allah swt.

Rutin sehariannya kini mencari keburukan diri, dan perlahan mencari solusi kepada setiap permasalahan dirinya. Prasangka buruk dalam diri hilang, sikap membanding-bandingkan terkubur, riak dan banyak sikap negatifnya yang secara drastik berubah dan hilang dalam diri Adam. Dia kini sangat dahagakan ilmu demi mempertingkatkan akhlak diri dan memperbaiki kehidupan sebagai seorang pelajar dan akan punya kerjaya serta bakal menjadi pemimpin rumah tangga satu hari kelak.

Di institusi barunya, dia menunjukkan kejayaan dalam bidang akedemik dan kokurikulumnya. Namun dalam masa yang sama, kekasihnya Hawa merasakan tidak selesa dengan perubahan yang terjadi dalam diri Adam. Dia seperti kehilangan Adam yang dia kenal dulu, sedikit demi sedikit Hawa menarik diri dari Adam. Cintanya kepada Adam semakin pudar. Mungkin kerana waktu bersama dengan Adam semakin berkurangan, bilamana Adam menghadkan waktu untuk mereka bersama. Adam sudah banyak berubah ke arah ke-Islaman. Keseronokan yang dulunya Hawa nikmati bersama Adam sudah hilang dengan perubahan pada diri Adam.

Ujian Kebenaran Cinta

Niat Adam sekadar ingin menjaga silaturrahim mereka berdua, kerana Adam benar-benar mencintai Hawa dan bercadang untuk memperisterikan Hawa bila habis pengajiannya kelak, disamping ingin menghormati diri Hawa sebagai makhluk ciptaan Allah yang cantik dan bersifat lemah. Mungkin juga Adam terlalu keras dalam membimbing Hawa, yang menyebabkan Adam semakin hilang dari hatinya. Mungkin juga Allah ingin menguji kebenaran cinta Adam kepada Allah swt dan Rasul saw.

Namun perkara ini dilalui tenang oleh Adam, kerana dia kini seorang yang percaya pada ketetapan baik dan buruk oleh penciptanya. Dan dia memaafkan Hawa dan amat bersyukur diizinkan Allah berkenalan dengan manusia yang bernama Hawa. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan demi kebahagiaan Hawa untuk dunia dan akhirat.

Adam kini terus dengan perjuangannya, dia perlu meletakkan fokus pada pendidikannya. Disamping memperkuatkan ilmu agama, mempelajari hadis, perbaiki bacaan Al-Quran sambil meningkatkan keimanannya kepada Allah dan Rasul. Dia menjadi seorang yang amat risaukan tentang bagaimana dan cara apa yang perlu dilakukannya bagi menjadikan impian Rasul saw sebagai satu kenyataan sehingga bayi yang terakhir lahir ke dunia pun dapat masuk ke syurga Allah swt. Kehidupannya kini kelihatan bahagia, bagaikan tiada masalah, walaupun berseorangan. Mungkin kerana keyakinannya terhadap bantuan dari Sang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Moga kita sama-sama dapat doakan kesejahteraan Adam. Semoga Adam dapat beristiqamah dan bermujahadah dalam usaha memperbaiki diri dan berdakwah menyebarkan agama Allah.

Allah bersumpah demi jiwa dan seluruh penyempurnaan-Nya. Setelah itu Dia mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan kepada manusia. Maka beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.

– Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s