Kaca digantikan dengan Permata

ANA dah dapat jumpa calon isteri,” beritahu rakan sepejabat saya pada suatu hari.

Alhamdulillah. Bila berlangsung majlisnya?” tanya saya.

“Kalau tak ada aral, insya-Allah lepas raya,” jawabnya sambil tersenyum. Kelihatan wajah yang dahulunya agak suram kini bertambah ceria.

Sahabat saya ini baik orangnya. Seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi dan bagus amalan agamanya. Walaupun lama bertunang atas kehendak keluarga, namun begitu, ikatan tersebut dijaganya dengan baik berlandaskan syariat Islam.

Sebenarnya sudah lama beliau merancang untuk berumahtangga, tetapi ada sahaja halangan yang dihadapi. Halangan yang terbesar adalah daripada bakal ibu mertuanya sendiri. Pelbagai alasan diberikan sehinggalah beliau diminta untuk mencari jodoh yang lain. Akhirnya, tali pertunangan yang diikat terputus di tengah jalan. Bukan kehendak beliau memilih jalan sedemikian, tetapi itulah keputusan terbaik yang perlu dilakukan.

Hal begini juga pernah terjadi kepada beberapa orang teman yang lain. Ada yang sudah berkira-kira untuk mengaturkan tarikh perkahwinan, tetapi akhirnya ikatan pertunangan yang dijalin terputus di tengah jalan. Puncanya disebabkan oleh pasangan itu sendiri, ataupun hadirnya faktor ketiga, sama ada disebabkan oleh ahli keluarga mahupun teman rapat mereka.

Andainya berlaku perkara sebegini, ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilalui. Ramai orang yang ‘terbabas’ apabila dilanda masalah begini. Sesetengahnya terpaksa mengambil masa berbulan lamanya untuk mengubat kelukaan hati. Tidak kurang juga yang merasakan mereka telah hilang kebahagiaan sehingga terpaksa dibawa menghuni hospital bahagia.

Allah Makbulkan Doa

Seringkali kali kita memohon supaya Allah memberikan pasangan yang baik buat kita. Permohonan tersebut dilakukan melalui doa-doa yang dititipkan selepas solat mahupun di dalam solat istikharah. Bahkan apabila bersembang-sembang dengan ahli keluarga dan teman-teman, kita juga sering menyebut supaya Allah memberikan jodoh yang terbaik untuk diri kita.

Namun begitu, mengapa ketika ikatan pertunangan yang dijalinkan terputus, ramai yang mudah berputus asa? Sedangkan mungkin ‘putus’ ikatan tersebut bermakna makbulnya doa kita. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, tetapi kitalah yang seringkali menzalimi diri sendiri.

Adakalanya insan yang kita harapkan untuk menjadi pasangan kita bukanlah pasangan yang terbaik untuk kita. Meskipun kita bersusah-payah untuk memilikinya, namun terlepas jua.

Firman Allah SWT :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah:ayat 216)

 

Cinta Hindustan Vs Redha Ibu Bapa

Ada yang terikut-ikut dengan adegan yang ditayangkan didalam filem Hindustan. Apabila ikatan cinta yang dibina dihalang oleh keluarga, ada yang memilih jalan pintas dengan memutuskan hubungan keluarga. Ada juga yang mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand. Bagi mereka cinta itulah segala-galanya.

Akhirnya rumah tangga yang dibina tidak mendapat restu daripada ibu bapa. Mungkin secara zahirnya nampak bahagia, tetapi secara batinnya mungkin tersiksa. Bahkan lebih menggerunkan sekirnya derita tersebut berlarutan sehingga ke akhir hayat kerana derhakakan kepada ibu bapa.

“Berkahwin” Dengan Ibu Bapa

Apabila kita mendirikan rumah tangga, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kita tetapi kita juga perlu “berkahwin” oleh ibu bapanya juga. Berkahwin dengan ibu bapa di sini bermaksud, sebagai seorang menantu kita juga perlu berada dihati disenangi oleh mereka.

Sekiranya kehadiran sejak awal-awal lagi tidak disenangi dan ditabur dengan cercaan nista, seeloknya perlulah mengundur diri. Andai sebelum berkahwin sudah menunjukkan taring, apatah lagi bila sudah berumah tangga.

Mungkin ada yang sanggup mengharungi cabaran ini dengan harapan ibu bapa pasangan tersebut terbuka hati selepas menerima kehadirannya selepas berkahwin. Harapan begini adakala berjaya, namun begitu adakala tidak.

Kata pepatah melayu, “Andai takut dilanda ombak, usah berumah ditepi pantai”. Andai rumah yang dibina utuh dan kuat, bila datang ombak dan badai mungkin diawalnya mampu untuk bertahan. Namun lama-kelamaan tidak mustahil hakisan akan berlaku sedikit-sedikit dan akhirnya rumah tersebut mungkin boleh roboh menyembah bumi sekiranya ombak yang datang bertambah kuat dan tidak berhenti-henti.

Rumah umpama perkahwinan yang dibina, manakala ombak umpama dugaan yang sedia menanti dan dimaklumi.

Kaca Digantikan Permata

“Maha Penyayangnya Allah kepada kita,” luah salah seorang teman yang sudah berkahwin.

Menurutnya, isteri yang dikahwininya kini jauh lebih baik daripada tunangnya dahulu. Baik dari sudut pakaiannya mahupun dari sudut budi pekertinya. Bahkan ibu dan bapa mertuanya turut menyayanginya. Bahkan dalam masa terdekat mereka sekeluarga akan berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah bersama atas tajaan ibu dan bapa mertuanya.

Inilah yang dikatakan rahmat Allah kepada kita. Andainya suatu ketika, hati kita pernah hancur bagaikan kaca yang dibaling batu, tanpa disedari, Allah telah menyediakan permata berharga untuk kita.

Allah tidak pernah mengecewakan hamba-Nya, bahkan Allah selalu memberikan rahmat kepada hamba-hamba-Nya. Rahmat yang terlalu banyak ini selalunya jarang disedari dan disyukuri.

Cinta kepada manusia itu tidak ke mana, tetapi cinta Allah itulah yang hakiki. Andainya kita merasakan kebahagiaan dalam hidup ini datangnya daripada cinta kita kepada manusia semata-mata, maka pada akhirnya kita akan kecewa.

 

Sumber: http://tintahikmahku.wordpress.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s