Resah Seorang Ayah

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!

Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus  dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.

Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.

Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.

(Buat sahabat/saudara ku… marilah kita renung tulisan yang sederhana i

ni: RESAH SEORANG AYAH…)

Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu  teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap  dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

 

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara…

 

Akhirnya Yusuf ternama. Mimpinya mencatur ekonomi. Siasahnya menyelamatkan negara.  Akhirnya Yusuf pulang ke Yaa’qub. Pertemuan kedua itu sudah termaktub.

 

Sudah beberapa dekad pula kita genggam  anugerah itu.  Kita cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya kita tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi ada masanya  kita terjatuh. Kita dilanggar dan dirempuh.

 

Taufan kehidupan ini tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, kita harungi jua badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan. Kehadiran putera dan puteri kita adalah  kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa  kekadang sepantas  igauan.

 

Ah, rasanya baru semalam, kita panggil anak. Tapi hari ini, sudah bergelar ayah. Dulu, kita dibelai dan dimanja. Namun kini  kita adalah “retua” yang telah dipagut usia. Ah, sedar-sedar sudah putih rambut di kepala. Sudah berkedut garis  di muka. Usia  sudah diambang senja… mentari hidup kian redup. Sudah hampir ke episod penutup.

 

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu… terlalu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain  hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi   ujian.

 

Masih kita ingat detik kelahiran mereka. Seorang demi seorang. Bersama isteri di sisi, kita nikmati tangisan pertamanya. Lalu kita azan di telinga kanan, iqamat di telinga kiri. Kita ukirkan kalimah tauhid di kanvas hatinya yang suci. Itulah bekal utama,  jati dirinya yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Anak, kau hamba Allah dan khalifah. Nya. Dan aku adalah ayahmu,  pemegang amanah safarmu yang fana.

 

Lalu bermulalah kembara anak di alam dunia. Kembara ini terasa panjang bagi mereka yang alpa, lalu masa terbuang sia-sia. Kembara ini terasa begitu pendek bagi mereka yang cerdik, masa akan  terisi dengan  baik.

 

Kenalkan dahulu anak kepada Tuhan. Katakan Tuhan itu Ada, Esa, Agung dan Perkasa. Lihat awan dan bulan… itu semua Tuhan jadikan. Nun, di sana burung dan ikan… Tuhan yang memberinya makan. Kalau di satu ketika anak bertanya, “ayah kenapa jerebu begini?” Katakan, “Tuhan ingatkan kita supaya  menghargai nikmat mentari.”

 

Walaupun masih di tahap fikrah terendah, anak mesti diajar mentauhidkan Allah. Kuasa hafalannya, terokailah. Kecepatan menirunya, eksploitasilah. Semuanya menuju satu. Segala terjurus lurus.  Awaluddin Makrifatullah – awal agama mengenal Allah.

 

Lepaskanlah anak ke persada buana. Jangan dikurung, nanti mereka pemurung. Biar mereka hirup udara kebebasan dan kemerdekaan.  Namun awasi langkah dan teliti tingkahnya. Bekalkan ilmu buat mereka menyuluh. Agar mereka tahu menilai pahala. Arif mengenal dosa. Selalulah berdamping dengannya. Dengarkan luahan katanya yang tersurat. Fahamilah isyarat dalamannya yang tersirat.

 

Kekadang mereka malu hendak menjelaskan, kitalah yang patut dahulu mentafsirkan. Adakalanya mereka bertanya dalam bercerita. Pandai-pandailah kita menjawabnya dalam selamba. Istiqamahkan didikan, berilah pimpinan. Sesungguhnya tugas ini sulit sekali, justeru kitapun selalu tersasar. Sering juga kita melakukan yang mungkar. Namun itu bukan alasan untuk menyerah kalah. Jadilah seorang ayah… yang selalu bermujahadah.

 

Ah, esok anak-anak kita pula akan menjadi ayah. Bagaimana ya? Aduuh… resah lagi.  Semoga kita terus memiliki hati seresah Ya’aqub. Agar  anak-anak  menjadi setabah Yusuf . Dan semuga kisah itu akan tetap agung, terus bersambung… kisah resah seorang ayah. Pesan kepada anak kita… sayangilah keluarga kerana di sana ada sumur cinta yang setia sampai bila-bila!

 

SAYANGI KELUARGA

 

Bahagia seluruh semesta

bermula dari sebuah keluarga

dari titis susu ibu tersayang

terbinalah sungai kasih yang panjang

 

Tumbuh dari keringat ayah

kita perah pengorbanannya yang melimpah

air matanya mengalir di darah kita

membina semangat dan cita-cita

 

Rentaslah seribu lautan

kembaralah di serata benua

tak kan kau temui semurni cinta

semurni cinta keluarga

Bila langkah remajamu ditusuk sembilu

kembara dewasamu diamuk nafsu

 

kenanglah pesan ibu

ingatlah madah ayah:

Kembalilah ke jalan Allah

 

Sumber: http://genta-rasa.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s