Kisah Dari Jepun: Bestnya Sensei Ada Tuhan!

Siapa suka bunga sakura?

Cantik sangat ke bunga sakura ini?

Inilah bunga kesukaan saya.

Tetapi di sini saya bukan mahu bercerita tentang sejarah asal usul bunga ini, kecantikan bunga ini, atau siapa yang suka bunga ini.

Tetapi saya mahu berkongsi satu cerita benar yang ada kaitan dengan makhluk bernyawa yang menetap di tanah tumbuhnya bunga sakura ini.

Cerita ini saya dengar sendiri dari kak Farhana (bukan nama sebenar) yang masa itu belajar di negara terbitnya matahari iaitu Jepun. Beliau berkongsi pengalamannya ini semasaJapanese Association Degree (JAD) datang ke Matrikulasi Labuan tahun 2008.

Semasa itu saya masih menuntut di sana. Saya sangat terkesan dengan pengalaman beliau ini dan saya ingin kongsikan kisah tersebut.

Al-kisah, Kak Farhana merupakan seorang pelajar yang menuntut di salah sebuah universiti di Jepun, beliau juga bekerja sambilan sebagai seorang cikgu tuisyen Bahasa Inggeris.

Kak Farhana mempunyai seorang anak murid lelaki yang dikhabarkan olehnya mempunyai rupa paras yang kacak!

Biasalah anak kelahiran orang Jepun. Muka macam pelakon-pelakon dan penyanyi-penyanyi yang digilai oleh remaja-remaja sekarang khususnya bunga-bunga yang sedang mekar indah di negara kita ini. Betul bukan?

Saya cerita serba sedikit tentang anak murid cikgu Farhana ini, dia adalah anak asli orang Jepun yang dilahirkan tanpa agama (ATHEIS) dan seorang pemain bola sepak di sekolahnya .

Pada suatu hari, si anak murid ini bertanya sesuatu pada cikgu Farhana. Perbualan mereka dalam bahasa Jepun ini yang sudah di terjemah oleh cikgu Farhana, lebih kurang begini perbualan mereka.

“Sensei (cikgu), kalau sensei berhajat akan sesuatu apa yang sensei akan buat?” Tanya anak murid itu.

“Oh, Sensei kan ada Tuhan. Bila sensei nak sesuatu sensei akan minta dengan Tuhan sensei.”Cikgu Farhana cuba memberikan jawapan yang mudah untuk anak muridnya fahami.

“Wah, bestnya sensei ada Tuhan! Macam mana cara sensei minta dengan Tuhan sensei?” balas anak murid itu ingin tahu.

Hati cikgu Farhana tersentak kerana menyedari akan sesuatu, hatinya bagaikan menangis merintih.

“Ya Allah, baru aku sedari beruntungnya aku mempunyai Engkau sebagai tempat aku bergantung dan meminta.”

Airmata cikgu Farhana meronta-ronta untuk keluar tetapi ditahan oleh perasaan egonya seorang guru dihadapan anak muridnya.

“Cikgu meminta dengan berdoa macam ni.” Jawabnya sambil menadah kedua tangannya separa bahu. Cikgu Farhana sengaja memberikan jawapan yang ringkas agar anak muridnya itu dapat mememahaminya dengan mudah.

“Oh, kalau begitu saya pun mahu berdoa pada Tuhan cikgu, saya pun mahu ada Tuhan macam cikgu, sebab selama ini setiap kali saya ada perlawanan bola saya selalu berdoa supaya menang tapi saya tidak tahu berdoa pada siapa.” Balas anak murid itu yang masih tidak mengerti akan konsep ketuhanan.

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu Muhammad tentang Aku ,maka sesungguhnya Aku dekat, Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran”. (Surah al-Baqarah: ayat 186)

Cikgu Farhana hanya tersenyum melihat gelagat anak muridnya itu. Di dalam hati dia memanjatkan kesyukuran kerana Allah S.W.T melahirkan dirinya sebagai seorang Islam dan dikurniakan Iman yang tidak mungkin dapat dijual beli atau diwarisi.

“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barang siapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah maka sungguh Allah sangat cepat perhitungannya.” (Surah al-Imran : ayat 19)

Banyak pengajaran yang saya dapat dari cerita kak Farhana ini. Walaupun ringkas tetapi amat terkesan di hati saya dan tidak mungkin luput dari ingatan. Sedih memikirkan nasib manusia yang ingin bertuhan tetapi tiada siapa yang dapat menjelaskan pada mereka.

Semoga saudara seislam disana diberi kekuatan dalam perjuangan dakwah oleh Allah S.W.T yang Maha Kuasa agar bertambah lagi saudara baru kita di Jepun dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Begitulah hakikat setiap tubuh yang diciptakan oleh yang Maha Esa dilahirkan bersama-sama fitrah yang ingin bertuhan.

Inilah norma kehidupan majoriti orang Jepun, juga orang yang bertuhan tetapi melupakan Tuhannya, yang hidup dalam kecanggihan teknologi dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang menghiasi setiap bandar.

Pagi bergegas ke pejabat atau menghadiri kuliah, malam pula mencari hiburan kononnya mengubati keletihan, kemudian esok harinya, lusa, dan hari berikutnya juga melakukan perkara yang sama.

Adakah kita hidup hanya untuk bekerja sahaja? atau berseronok ? atau memenuhi perut dengan makanan yang sedap-sedap sahaja?

Tepuk dada, tanya Iman.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki agar memberi makan kepada-Ku.” ( Surah az-Zariyat: ayat 56-57)

Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s