Sungguh, Kamu Pencabar Terhebat. Syabas!

Apabila berdakwah, ada yang begitu keras hatinya untuk menerima. Ada yang lembut hati cuma susah mahu melakukan perubahan.
Yang keras punya seribu alasan. Yang lembut masih boleh dirunding. Terutama berkaitan masalah aurat. Pelbagai alasan diberikan oleh mereka. Kaum Hawa.

Mereka yang mengajak kita ke arah kebaikan adalah mereka yang sayangkan kita. Jadi, cuba dengar apa yang mereka mahu bicarakan.
Kerana mungkin kita berada pada lorong yang salah. Seharusnya bersyukur ada yang mahu menegur.

Ada yang memerhati kelakuan kita yang salah dan terpanggil untuk memperbetul. Kita yang ditegur seharusnya duduk dan berfikir. Bukan menjunjung ego setinggi langit. Kerana mereka menegur kita sebagai peringatan. Kita hanya seorang hamba. Jangan cuba berani mencabar Pencipta.

Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Baik, pada mulanya bersangka baik. Mungkin kamu tidak tahu. Dalil aku kemukakan. Lihatlah surah An-Nur ayat 31.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya)……”

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Apakah kamu mahu berdalih lagi? Mari kuingatkan kembali apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W.

“Sesungguhnya, sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.”

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan, belum sampai serunya. Mungkinkah maksudmu, itu seruan Malaikat Izrail? Dan waktu itu, apa yang kamu mahu lakukan? Senyum mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan memakai tudung perlulah ikhlas dari hati. Tidakkah kamu tahu, ikhlas itu hadir setelah perbuatan? Andai tiada usaha ke arah kebaikan, mana mungkin hatimu cuba untuk ikhlas sepenuhnya?

Dan lagi, andai menunggu untuk ikhlas, sebenarnya tiada sesiapa pun yang mengetahui dirinya benar ikhlas atau tidak. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui. Oh, adakah itu bermakna, kamu selamanya tidak akan pernah menutup aurat dengan sempurna?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Tetapi kamu memilih untuk  mendedahkan mahkotamu. Lebih lagi, sungguh berani meng‘upload’ foto yang tidak perlu di‘zoom in’. Sungguh berani memaparkan foto yang bisa meruntuhkan iman dan jiwa si pria, malahan dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna pada mata kasar. Yang bukan lagi khusus buat takdirmu. Suamimu.

Wahai hamba,
Allah menyuruhmu untuk menutup aurat. Katamu yang menutup aurat itu tidak semestinya baik. Dan yang mendedahkan aurat itu tidak semestinya jahat. Oh, mungkin maksudmu melanggar peraturan dan suruhan Allah itu, baik? Begitu mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan ‘panas’! Jika di dunia sudah kamu mengatakan panas dan liat mentaati suruhan-Nya, apakah kamu mengira kamu bisa terlepas di akhirat kelak?

Katamu lagi, ibu bapamu tidak pernah melarang, mengapa aku pula yang sibuk menegur? Ingin sekali aku bertanya, siapakah yang menciptamu?

Di tanah siapakah dirimu berdiri?

Bukankah Allah S.W.T yang menciptakanmu?

Bukankah di bumi Allah S.W.T kamu berpijak?

Kamu berjalan di dunia ini mengikut peraturan manusia atau syariat Allah S.W.T?

Apakah kamu jamin kamu bisa lari saat Allah S.W.T meletakkan dirimu di neraka? Jika ya, tidak mengapa. Lupakanlah kata-kataku ini.

Sungguh, kamu begitu berani mencabar Dia. Sungguh kamu pencabar terhebat. Syabas.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Bukan hanya membalut tubuh. Itu salah. Usah kau sanggul tinggi rambutmu di atas kepala. Tetapi letaklah posisi sanggul dalam tudung itu di bahagian belakang kepala atau sedikit ke bawah berhampiran leher.

Lupakah dirimu apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W?

Laknat bagi wanita yang meninggikan sanggul di atas kepala. Bukankah Baginda yang kau cintai?

Di mana bukti katamu?

Usah biarkan Rasulullah S.A.W menangis kelak kerana ingkarnya umat daripada mentaati Allah S.W.T. Tegarkah?

Baginda S.A.W yang masih tetap mengingati umatnya walau sewaktu sakaratul maut datang menjemput! Namun apa yang kita lakukan? Memijak risalah Baginda! Tidak berhati perut. Menangislah. Andai hati itu masih bisa melihat.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Pernahkah bertanya kepada diri, mengapakah?

Kerana kasihnya Dia kepada kita! Lupakah kamu apa yang dipesankan Rasulullah S.A.W?

Kita wanita fitnah akhir zaman! Padamlah segera foto menutup aurat yang ditayang umum. Foto menutup aurat pada mata kasar, namun tidak pada syariat. Tudung tidak dilabuhkan menutupi dada, baju ketat, berbaju kurung tetapi beraksi manja, kaki jelas kelihatan, memakai blaus dengan lengan terdedah.

Aku menyayangimu. Padamlah. Aku sudah tidak tahu lagi apa yang harus ku katakan. Bagaimana lagi harus ku katakan supaya tutuplah aurat bukannya membalut aurat. Simpanlah foto yang cantik itu. Hanya buat tatapan yang berhak. Tiadalah aku mengatakan haram.

Letaklah andai dirimu mahu tetapi pesanku berpadalah. Juga waspada terhadap mata-mata liar bernafsu. Ingin sekali ku mengingatkan apa yang dipesan Saidatina Aisyah. Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan yang tidak dipandang. Bukankah katamu mahu seperti wanita ini?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kerana itu adalah kehormatanmu. Islam datang mengangkat martabat wanita. Tutuplah aurat supaya kamu dihormati. Jika berdegil, usah ditanya mengapa kamu mengalami gangguan seksual. Usah ditanya mengapa kamu diajak ke arah lembah perzinaan. Lihat apa yang kamu lakukan.

Kanak-kanak yang dinodai itu tidak bersalah hatta perempuan yang diragut kehormatannya oleh syaitan bertopengkan manusia walaupun aurat ditutup rapi. Tidakkah itu salah mereka yang mendedahkan aurat?

Tidakkah itu salah mereka yang meng‘upload’ foto dengan mimik muka yang menggoda dan manja?

Sehingga membangkitkan nafsu syahwat kaum Adam?

Seterusnya mereka yang tidak berdosa itu menjadi mangsa? Tegarkah kamu?

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu hairan mengapa aku begitu menyibuk. Aku bukan menyibuk. Ini bukti sayangku kepadamu.

Bukankah aku ini muslimah? Begitu juga dirimu? Bukankah Islam agama kita? Ya, aku tidak sempurna.

Tetapi aku ingin sedayanya menjadi hamba yang mendengar dan taat. Bersamamu bukan keseorangan. Bencilah aku jika itu dapat memuaskan hatimu. Tamparlah aku jika itu dapat melepaskan amarahmu. Namun, aku tidak akan pernah membencimu walau sekelumit. Aku tetap menyayangimu kerana Allah S.W.T. Kerana kamu saudara seakidahku. Saudara atas iman.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Kamu mengatakan itu hak masing-masing, kubur kita lain-lain dan aku tidak berhak menegurmu. Ketahuilah, menutup aurat itu bukanlah kehendak kita sama ada mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Melainkan Islam itu bukan agamamu? Melainkan al-Quran dan as-Sunnah itu bukan peganganmu? Melainkan Muhammad S.A.W  itu bukan Rasulmu? Melainkan Allah S.W.T itu bukan Tuhanmu?

Jika bukan, tidak mengapa. Dedahlah sebanyak mungkin.

Wahai hamba,
Allah S.W.T menyuruhmu untuk menutup aurat. Perbetulkanlah niat. Bukan untuk kelihatan cantik dan solehah di hadapan jutaan pria. Tetapi untuk mendamba keredaan-Nya.

Bukan untuk menggayakan pakaian mewah walau syariat dilanggar. Tetapi ia adalah pakaian malu yang menyekat diri daripada memasuki pintu-pintu maksiat. Bukan sekadar untuk menggayakan fesyen moden terkini kerana katamu usah kekampungan menyarung baju kurung dan tudung labuh. Tetapi ini adalah bukti usaha menjadi hamba taat yang menggayakan fesyen menuju ke Syurga.

Jika hatimu masih lagi keras wahai hamba. Walau beribu pesanan dan peringatan telah datang.
Sungguh, kamu masih begitu berani mencabar Dia. Sungguh kamu pencabar terhebat. Syabas.

Allah S.W.T menyuruh untuk saling menyayangi antara satu sama lain.

Sungguh kucoretkan ini bukti sayang kepadamu. Sungguh kucoretkan ini bukti keprihatinanku kepadamu. Sungguh kucoretkan ini harapanku kepadamu juga kepadaku.

Tegarkah kamu menghancurkan hatiku?

Sungguh kucoretkan ini, agar runtuh ego. Usah berani mencabar Pencipta sendiri, usah menunjuk kehebatan melanggar suruhan. Sedangkan kaki sendiri berpijak di bumi Tuhan. Usah berdegil mentaati-Nya. Andai diri sendiri juga tidak mampu mengelak dari bahang api neraka, di sana nanti.

Andai saat ini terdetik di hati ingin berubah, berubahlah dengan segera,
Kerana Malaikat Izrail itu tak akan menunggu,
Tidak peduli akan rayuan,
Walau sesaat, meminta penangguhan,
Daripada nyawa ditarik.

Wahai hamba,
Usah derhaka kepada Pencipta,
Kamu punya pilihan untuk ke syurga,
Lalu mengapa lebih memilih haluan ke neraka?

Wahai hamba,
Seandainya dirimu benar yakin,
Walau terusan melanggar perintah-Nya,
Kamu bisa lari daripada api neraka yang membahang,
Baik, teruskan.

Di dunia, jadilah pencabar terhebat Penciptamu sendiri,
Mungkinkah kamu bisa lagi begitu di Akhirat sana?
Pesanku, berubahlah.
Itupun andai benar kamu yakin di sana adanya syurga dan neraka.

Jika tidak, teruskan mencabar Dia. Kamu hebat. Syabas.

Biar aku dibenci,

Kerana kelantanganku bersuara,
Hanya Allah S.W.T tahu apa dalam hati ini,
Betapa sayangnya diriku kepadamu Hawa.

Aku sudah cuba membantu,
Kerana sayangnya diri ini kepadamu,
Namun kini aku hanya mampu membatu,
Kerana pilihan segalanya di tanganmu.

Istighfarlah.

Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s