Pemuda itu dan Delisa

Kisah Seorang Pemuda

Hari Jumaat lepas, saya menemani kakak melawat bekas pelajarnya di HSNZ. Walaupun awalnya hanya berniat duduk kat bawah sebab nak jaga Aisya, akhirnya naik jugak ke tingkat 4 atas sebab-sebab tertentu.

Wad pesakit lelaki. Mencari-cari nama student kakak di board bahagian luar, ketemu no. katil. Masuk ke dalam wad.

Sementara kakak saya berjalan di depan, saya turut memandang sekeliling. Wad dipenuhi pesakit-pesakit lelaki dengan pelbagai rupa dan suasana.

“Kak Da. Tu no 14X!”

Di situ berkumpul beberapa orang yang saya kira ahli keluarganya. Mak, ayah, abang, kakak, dan 2 orang anak kecil serta 2 remaja perempuan yang pastinya teman sekolah.

Saya hanya tahu si pemuda terlibat dalam kemalangan jalan raya tanpa mengetahui apa kecederaannya. Dari jauh, saya lihat hanya sedikit calar di wajah. Kami mendekati katilnya dengan senyuman. Dan saya tergamam.

Wajah apa yang saya patut pamerkan? Terkejut? Takut? Simpati? Sedih? Atau maintainkan senyuman yang ada.

Kaki yang berbalut. Ye, berbalut bukan bersimen. Ye, berbalut di sebelah kakinya, sementara sebelah lagi bersimen. Ye, berbalut di sebelah kakinya yang ada hanya di paras lutut ke atas. Sebelah kakinya sudah tiada.

 

 

Pemuda itu dan Delisa

Sehari sebelumnya saya baru selesai menonton sebuah filem dari seberang yang sedang hangat di‘share‘kan di FB. “Hafalan Shalat Delisa“. Sebuah cerita yang cukup menyentuh hati. Saya tak nak bercerita tentang filem tersebut. Boleh tonton sendiri. Tapi yang ingin saya ceritakan adalah bila melihat pemuda itu, saya terbayangkan Delisa.

Keadaan yang sama. Pemuda itu dan Delisa, kehilangan sebelah kakinya selepas satu tragedi.

Tapi ada bezanya.

Delisa. Hanya berusia mungkin sekitar 5 tahun. Yang masih belum benar-benar memahami realiti kehidupan. Sampaikan dia boleh terfikir bahawa kakinya tiada kerana hilang dihanyutkan air Tsunami. Sedangkan sebenarnya kakinya dipotong akibat cedera yang mungkin mengundang jangkitan kuman. Dan paling penting, itu adalah kisah sebuah filem. Kisah sebuah novel, yang mungkin diadaptasi dari pelbagai kisah sebenar selepas Tsunami. Wallahu a’lam.

Tapi itu adalah sebuah kisah indah tentang kesabaran yang tak saya nampak di depan mata saya sendiri.

Pemuda itu. Berusia 20 tahun. Sebelah kakinya hancur akibat kemalangan jalan raya dan sebelah lagi terseliuh dan masih belum mampu bergerak.

Ingin sekali saya katakan padanya, “Tengok lah cerita Hafalan Shalat Delisa. Sebelum Tsunami, dia main bola. Lepas Tsunami, dia kehilangan ibunya, ketiga-tiga orang kakaknya dan sebelah kakinya. Tapi dia masih bermain bola.”

Tapi itu adalah kehidupan kanak-kanak yang masih kecil. Yang mungkin belum berfikir jauh.

Tapi pemuda itu sudah cukup dewasa. Yang mungkin sudah memikirkan tentang masa depannya selepas ini. Dengan hanya sebelah kaki. Kehidupan macam mana yang akan dia lalui.

Mungkin dulu dia seorang olahragawan, mungkin dulu dia seorang pemain bola sepak, mungkin dulu dia seorang pemimpin di sekolah, mungkin dulu dia yang selalu menolong ayahnya di kebun. Pelbagai kemungkinan… Tapi kini??

 

Kenapa Dia?

Pemuda itu. Bila kami mendekati, dia tersenyum mesra.

“Teacher Farida. Kenapa datang. Malu saya,” katanya sambil tergelak.

Sepanjang perbualan, dia tetap tersenyum mesra. Sesekali mengelap wajahnya yang berpeluh. Tiada tangisan. Mungkin sudah kekeringan. Walaupun saya masih dapat lihat sisa-sisa kesedihan pada wajah mak, ayah, kakak, dan abang, tapi di wajahnya tak terpamer sedikitpun kesedihan.

“Kalaulah aku di tempatnya…” itu yang terdetik di hati saya. Air mata yang ditahan. Mana mungkin saya nak menjadi orang yang menambahkan kesedihan kepada mereka.

Kenapa dia? Pemuda yang saya lihat adalah seorang pemuda yang baik, hormat pada kakak saya sebagai gurunya, yang pastinya masih ingin menyambung pelajarannya, bukanlah jenis budak sekolah yang nakal. Yang masih boleh tersenyum dalam kesakitan dan kesedihan yang mungkin dipendam, yang masih boleh bergurau mesra pada rakan-rakannya tanpa sedikitpun meminta simpati daripada orang lain.

Kenapa dia? Kenapa bukan mat-mat rempit di jalanan, peragut-peragut di atas motor, pencuri dan perompak, atau orang-orang lain yang banyak menyusahkan kehidupan manusia lain di dunia. Kenapa bukan mereka?

Barulah saya faham, Allah itu Maha Penyayang. Allah hanya menimpakan sesuatu ujian dan bebanan kepada orang yang mampu memikulnya. Dan saya pasti pemuda itu mampu. Bukan mat-mat rempit, bukan peragut, bukan pencuri atau perompak, tapi dia.

Harga Sepasang Kaki

“Teacher, rasa macam kaki tu ada lagi. Boleh gerak-gerak. Rasa nak sentuh je.”

Pemuda itu telah kehilangan sebelah kakinya. Yang tak akan diperoleh kembali.

Dan kita. Kita masih memiliki sepasang kaki. Dan kini saya ingin diri saya dan pembaca tanyakan pada diri sendiri. Sepasang kaki yang masih berfungsi ini, sepasang kaki yang masih belum ditarik nikmatnya oleh Ilahi, sepasang kaki ini sudah melangkah ke mana pada hari ini? Sudah melangkah ke mana sepanjang hidup ini?

Adakah ke shopping mall membuang duit dan waktu? Adakah ke pusat-pusat karaoke? Adakah ke konsert2? Adakah keluar berdating di tepi-tepi pantai? Adakah ke panggung wayang? Adakah ke restoran-restoran untuk berborak kosong? Atau duduk di depan laptop menghadap facebook 24 jam?

Atau, adakah ke majlis-majlis ilmu? Atau mengimarahkan masjid? Atau menziarahi sahabat-sahabat? Atau menolong ibubapa di rumah atau di kebun-kebun? Atau ke tempat kerja atau tempat belajar dengan niat beribadah kepada Allah?

Harga sepasang kaki itu tak ternilai. Walau diberi duit 10juta pun, kalau sudah ditarik nikmatnya oleh Allah, takkan dapat mengembalikan sepasang kaki itu dalam keadaan asal. Duit takkan pernah dapat membeli setiap nikmat anggota yang Allah dah berikan.

Jangan biarkan sepasang kaki itu menjadi saksi pertambahan dosa-dosa kita. Jangan biarkan sepasang kaki itu menjadi saksi lubuk-lubuk dosa mana pernah kita kunjungi. Kerana di akhirat nanti, bibir kita akan didiamkan. Dan sepasang kaki itu yang akan berbicara.

Jadi, kali ini marilah kita kembali muhasabah diri. Biarlah setiap langkahan kita selepas ini adalah langkahan yang mampu membenihkan pahala-pahala pemberat amal, yang mampu menjadikan kita insan-insan yang lebih bertaqwa. Dan setiap langkahan ini moga mampu menapak lebih dekat ke jalan menuju Allah. Mulakan sekarang. Kerana kita tak pasti selama mana lagi nikmat sepasang kaki ini akan kekal bersama.

 

Moga Redha Bersamanya

Pemuda itu. Dilihat cukup tabah. Pastilah kerana sabar dan redha. Moga redha Allah juga bersamanya. Moga Allah melindungi dan menolongnya. Moga sebelah kaki yang hilang itu menjadi asbab diangkat darjatnya di akhirat sana.

Mungkin dengan kehilangan ini, Allah memelihara pemuda itu daripada melangkah dan terjebak ke dalam dunia yang penuh tipu daya.

Hidup di dunia benar-benar adalah sementara. Indah mana pun kehidupan, hanya fatamorgana semata.

Biarlah kita sakit, sedih, derita, kekurangan, kesempitan dalam kehidupan di dunia. Moga di akhirat sana kita akan menjadi Mukmin yang paling bahagia. Amin.

“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan” (Asy-Syarh:6)

– Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s