Mus’ab bin Umayr | Pahlawan Islam Yang Syahid

Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab bin Umayr ditugaskan memegang bendera Islam. Pada awalnya kaum muslimin berjaya menguasai pertempuran, sehingga tentera musyrikin bertempiaran lari. Peringkat kedua peperangan, berlaku kelekaan dari kalangan pasukan yang mengawal bukit Uhud, yang telah membuka ruang kepada musyrikin untuk melakukan serangan balas kepada muslimin.

Kaum musyrikin melakukan serangan hebat dengan matlamat untuk membunuh Rasulullah SAW. Dalam saat getir itu, Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan teguh mempertahankan Rasulullah SAW.

Menyedari ancaman ke atas Baginda, beliau cuba untuk memberikan semangat serta mengalih perhatian musuh dengan mengangkat panji setinggi-tingginya sambil bertakbir dengan nyaring.

Sebelah tangan memegang bendera, sementara sebelah lagi menghunuskan pedang menangkis serangan musuh, sambil melaungkan: “Muhammad itu adalah Rasul, dan sebelumnya telah diutuskan rasul-rasul lain”

Menyedari kehadiran Mus’ab, sebahagian tentera-tentera musyrikin yang asalnya menghala serangan ke arah Rasulullah beralih arah dengan meluru ke arahnya. Antaranya, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah yang menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam.

Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan lehernya dan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Ibn Qamiah bersungguh-sungguh berusaha membunuh Mus’ab kerana menyangka bahawa Mus’ab itu adalah Rasulullah SAW, disebabkan wajah Mus’ab seiras dengan wajah Rasulullah SAW. Lantaran itu, sebaik sahaja dia membunuh Mus’ab, dia terus pergi kepada kawan-kawan musyrikin yang lain lalu menjerit-jerit mengatakan bahawa Muhammad telah dibunuh.

Ketika gugurnya Mus’ab, sahabat-sahabat Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telahberusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya.

Apabila selesai pertempuran, Rasulullah meminta para sahabat meninjau tentera Islam yang cedera dan syahid. Para sahabat kemudiannya mengumpulkan jenazah-jenazah para syuhada’ untuk dikebumikan.

Pengkebumian jenazah Mus’ab antara yang paling menyayat hati. Ketika jenazahnya yang syahid itu hendak dikafankan, didapati tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Apa yang ada hanyalah pakaiannya yang singkat dan tidak mencukupi untuk menutup jasadnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda.

Para sahabat yang menguruskan jenazah tidak dapat menutup jasad Mus’ab yang syahid itu keseluruhannya. Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, Baginda Rasulullah SAW meminta agar kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun idhkhir.

Rasulullah SAW amat tersentuh dengan pemergian para syuhada Uhud termasuk Mus’ab dan bapa saudara Baginda Hamzah bin Abdul Muttalib, yang jasadnya dipotong dengan kejam. Sambil menghadap jenazah para syuhada Uhud, Rasulullah SAW membaca ayat yang bermaksud: “Daripada orang-orang yang beriman itu ada yang telah membenarkan janji mereka kepada Allah”.

Kemudiannya, sambil bercucuran air mata, Rasulullah SAW bersabda kepada jenazah syuhada termasuk Mus’ab: Sesungguhnya Rasulullah menjadi saksi bahawa kalian semua adalah syuhada di sisi Allah di akhirat nanti”

Demikian kisah kekuatan peribadi Mus’ab Umayr, seorang hamba Allah dalammempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Kisahnya mempamerkan usaha danpengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah.

Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Seterusnya, dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat. Akhirnya beliau menemu Allah dengan penuh kemuliaan sebagai seorang syahid.

– Artikel iluvislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s